PELAKON terkenal Bollywood, Saif Ali Khan dikejarkan ke hospital selepas ditikam perompak dalam kejadian yang berlaku di rumahnya awal pagi tadi.
Menurut laporan Hindustan Times, kediaman aktor yang juga merupakan suami kepada Kareena Kapoor itu dipecah masuk perompak kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) ketika dia sedang tidur bersama anak-anaknya, Taimur dan Jeh.
Sewaktu kejadian, Kareena tidak berada di rumah kerana keluar bersama kakaknya Karisma Kapoor dan pelakon, Sonam Kapoor.
Saif yang terdengar bunyi bising bangun dan berhadapan dengan perompak tersebut dan berlaku pergelutan antaranya dengan perompak terbabit.
Pelakon filem Hum Saath-Saath Hain itu dilaporkan cedera akibat ditikam beberapa kali dengan pisau dan telah dikejarkan ke Hospital Lilavati, Mumbai kira-kira jam 3.30 pagi.
Menurut Pegawai Eksekutif hospital berkenaan Niraj Uttamani, Saif mempunyai enam kecederaan di tubuhnya. Dua daripada merupakan luka yang sangat dalam. Satu daripada kecederaan hampir dengan tulang belakang.
“Kami akan menjalankan pembedahan terhadapnya dan akan dilakukan beberapa orang doktor bedah termasuk doktor bedah kosmetik. Kami akan memberi maklum balas selepas pembedahan selesai dilakukan,” katanya.
Kejadian tersebut menggemparkan seluruh industri perfileman Bollywood dengan rata-rata netizen mempersoalkan tahap keselamatan rumah pelakon itu yang merupakan seorang bangsawan. – KOSMO! ONLINE