fbpx

Rakyat Gaza berlinang air mata rai gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai meraikan pengumuman gencatan senjata di sepanjang jalan di Khan Yunis semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Penduduk Palestin berpusu-pusu keluar meraikan berita gembira perjanjian gencatan senjata di seluruh Semenanjung Gaza semalam, dengan ramai mengelap air mata kegembiraan serta ada yang bertepuk tangan, menari dan melaung ‘Allahuakbar’.

Laman berita Middle East Monitor melaporkan, perjanjian itu yang belum diumumkan secara rasmi, menggariskan fasa gencatan senjata awal selama enam minggu termasuk pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari Gaza serta pertukaran tahanan.

“Saya sangat gembira. Saya menangis tetapi ia adalah air mata kegembiraan,” kata Ghada, ibu kepada lima anak yang kehilangan tempat tinggal di Bandar Gaza akibat konflik itu.

“Kami seperti dilahirkan semula. Setiap jam ia dilewatkan (gencatan senjata), Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai. Saya harap ia kini benar-benar berakhir,” katanya.

Namun bagi sesetengah orang, kegembiraan bercampur dengan kesedihan.

Ahmed Dahman, 25, berkata, perkara pertama yang akan dilakukannya apabila perjanjian itu berkuat kuasa adalah untuk mendapatkan jenazah  bapanya yang terbunuh dalam serangan udara di rumah keluarga itu tahun lepas, dan memberikan pengebumian yang sewajarnya.

“Perasaan saya bercampur gembira kerana nyawa dapat diselamatkan dan pertumpahan darah dihentikan.

“Namun, saya juga bimbang tentang kejutan selepas perang iaitu apa yang akan kita lihat di jalanan, rumah yang musnah serta jenazah bapa saya yang masih di bawah runtuhan,” katanya yang kini berada di Deir al-Balah.

Sementara itu, di bandar selatan Khan Yunis, golongan belia memukul rebana, membunyikan hon dan menari di jalan, beberapa minit selepas mendengar berita perjanjian itu dibuat di ibu negara Qatar, Doha. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI