fbpx

Ya, kami akan berkahwin, persiapan sudah 60 peratus – Siti Saleha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Saleha bagaimanapun merahsiakan tarikh pernikahannya dengan Joshua Fitton. – AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun menyulam cinta, pelakon Siti Saleha mengakui bakal melangsungkan pernikahan dengan pereka fesyen tempatan, Joshua Fitton dalam waktu terdekat.

Pun begitu, Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 35, memilih merahsiakan tarikh sebenar majlis itu.

“Ya, kami akan berkahwin. Setelah tiga tahun bersama, kini tiba masanya kami mengambil langkah seterusnya.

“Untuk persiapan perkahwinan semuanya berjalan lancar setakat ini. Bulan ini memang banyak perkara perlu diselesaikan.

“Persiapan kini berada pada tahap 60 peratus dan bakal disempurnakan dalam tempoh singkat. Dari segi kerja pula saya cuma habiskan penggambaran tiga hari lagi sebelum fokus sepenuhnya kepada majlis,” katanya kepada Kosmo! Online.

Lebih mengujakan, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu turut berkongsi, majlis resepsinya nanti bakal berlangsung di luar Kuala Lumpur.

“Majlis perkahwinan saya akan diadakan di Malaysia tetapi di luar Kuala Lumpur. Bahagian saya lebih kecil dan tertutup, manakala keluarga Joshua pula akan meraikan dengan lebih meriah.

“Dia asal Melaka dan anak sulung yang belum berkahwin. Jadi keluarganya sangat teruja bahkan untuk belah Melaka, resepsi juga dirancang lebih besar,” ujarnya pada majlis pelancaran EP terbaharu Dasha Logan dan Datuk David Arumugam berjudul Legasi.

Ditanya perasaan menjelang hari bahagia, Bintang Asia Terbaik Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 itu mengakui berdebar tetapi pada masa sama tidak sabar memulakan babak baharu dalam hidupnya.

“Sudah tentu terselit rasa gementar, tetapi saya percaya perkahwinan ini adalah sesuatu yang baik.

“Perkahwinan adalah satu tanggungjawab besar. Ini adalah permulaan baharu buat saya. Insya-Allah, doakan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Sebelum ini, aktres yang mesra disapa Sally itu mendedahkan dirinya telah bertunang selepas tiga tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan Joshua.

Sebelum ini Saleha pernah mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Lutfi Azhar, namun perkahwinan tersebut berakhir pada 2021 selepas empat tahun bersama. Mereka bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI