PETALING JAYA – Keluarga bayi Nur Anggun Eshal Shakir Zufayri melahirkan rasa syukur apabila dana sebanyak RM200,000 yang diperlukan untuk pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai berjaya dikumpulkan sepenuhnya.
Ibu bayi berusia setahun itu, Noor Ain Ardina Azohan, 23, meluahkan rasa terharu mereka dengan sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia.
Menurutnya, kejayaan mengumpulkan dana dalam jumlah besar itu tidak mungkin tercapai tanpa bantuan pelbagai pihak termasuk individu dan organisasi seperti
Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia serta Misi Rakyat selain akhbar Kosmo!
“Separuh daripada dana yang kami perlukan datang daripada sumbangan organisasi termasuk pengasasnya.
“Kami tidak sangka dana ini boleh terkumpul dalam masa singkat ini. Sokongan daripada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang tidak mengenali kami, sumbangan dan keprihatian mereka benar-benar menyentuh hati kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Noor Ain, segala persiapan diperlukan hampir selesai dan kini mereka hanya menunggu kelulusan rasmi daripada kerajaan China selain dijangka berangkat ke Shanghai bulan depan, kira-kira seminggu selepas Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, proses pembedahan dan pemulihan Anggun dijangka mengambil masa sekitar sebulan.
“Kami berharap Anggun akan sembuh dan dapat membesar seperti bayi lain. Sebagai anak pertama, dia amat istimewa bagi kami. Terima kasih kepada semua yang membantu kami sampai ke tahap ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noor Ain turut memohon agar orang ramai terus mendoakan kelancaran perjalanan dan kejayaan pembedahan Anggun di China.