BALING – Gara-gara enggan menjual minyak masak peket bersubsidi, sebuah kedai runcit di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung keengganan peniaga menjual barangan tersebut sebelum penguat kuasa melakukan uji beli kira-kira pukul 11.15 pagi.
“Ketika uji beli dilakukan, premis diuruskan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an memaklumkan tiada bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi di premis berkenaan.
“Susulan itu, pasukan serbuan KPDN Cawangan Baling membuat pemeriksaan lanjut dan menemui 20 kg minyak masak paket satu kg yang disimpan di dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemilik premis kemudian mengaku tindakannya yang enggan menjual minyak masak peket bersubsidi kepada pelanggan.
“Sehubungan itu, pasukan serbuan bertindak menyita kesemua 20 kg minyak masak peket satu kg tersebut yang dianggarkan bernilai RM50 untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Sementara bagi syarikat, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE