LUMUT – Mayat seorang lelaki ditemui di pesisiran Pantai Pasir Bogak di Pulau Pangkor di sini kira-kira pukul 11.24 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, anggota dari Balai Polis Pangkor yang menerima maklumat awam berkaitan mayat tersebut telah pergi ke tempat kejadian bagi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian telah menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan oleh pihak Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasbullah berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, hasil semakan pihak polis mendapati mengsa telah dilaporkan hilang pada 12 Januari lalu.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berlaku boleh menyalurkannya ke Balai Polis Pangkor di talian 05-6851222 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung di 05-6886222 dan hotline WhatsApp 014-6828005,” katanya. – KOSMO! ONLINE