PUTRAJAYA – Polis menahan pasangan suami isteri berusia 31 tahun yang merupakan pemilik sebuah syarikat pengendali umrah di Kuala Lumpur malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan ke atas pasangan suami isteri itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada pukul 7 malam bagi membantu siasatan selepas pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan penipuan umrah.
“JSJK telah membuat tangkapan ke atas pasangan suami isteri tersebut.
“Polis merampas beberapa buah komputer, pasport dan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Hussein, JSJK Selangor menerima satu laporan polis berkaitan kes penipuan umrah melibatkan sebuah syarikat yang dibuat di Sepang.
“Mangsa wanita berusia 39 tahun yang merupakan pekerja swasta mengalami kerugian RM11,000 selain terkandas untuk menunaikan umrah pada 14 Januari lalu.
“Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. Setakat ini sebanyak tujuh laporan diterima,” katanya.
Tambah Hussein, semakan mendapati seramai 379 mangsa berurusan dengan syarikat itu dan terkandas untuk mengerjakan umrah pada 14 Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM2.1 juta.
“Hasil awal mendapati syarikat mula beroperasi sejak 2022 sebelum berpindah ke sebuah premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober 2024.
“Mereka membuat iklan mengenai pakej umrah di aplikasi TikTok dan berhubung dengan ejen yang dilantik pihak syarikat,” katanya. – KOSMO! ONLINE