AMPANG – Dendam lama menjadi punca seorang lelaki teruk dibelasah sehingga dilaporkan mengalami pendarahan otak selepas kejadian di Jalan Pandan Indah, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, motif kejadian kerana mangsa berusia 42 tahun pernah mencederakan suspek pada pertengahan tahun lalu.
Katanya, ibu angkat mangsa menerima panggilan daripada Hospital Ampang yang memaklumkan mangsa dimasukkan ke zon merah ketika berada di rumah kira-kira pukul 9.10 malam.
“Ketika berada di Hospital Ampang, seorang lelaki yang membawa mangsa memaklumkan dia dipukul di Jalan Pandan Indah oleh suspek.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut oleh pihak Hospital Ampang dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bertindak atas maklumkan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan suspek berusia 30-an sekitar pukul 11 malam pada 13 Januari.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang bagi permohonan reman dan dibenarkan reman selama lima hari bermula 14 hingga 18 Januari.
“Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.