PETALING JAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming yang mengatakan ‘ham’ adalah proses pembuatan makanan bukannya merujuk kepada daging babi.
Akmal dalam hantaran di Facebook meminta agar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memahami maksud sebenar ham sebelum membuat kenyataan yang melulu.
“Bila ada menteri beritahu ‘ham’ bermaksud proses untuk membuat makanan, maka saya sertakan sekali di sini apakah maksud ham dari Oxford Learners’s Dictionary. Ham bermaksud daging yang datangnya dari babi.
“Jika daging itu datangnya dari sumber selain dari babi, ia mesti disertakan sumbernya di depan dahulu. Seperti daging lembu, maka ia disebut ‘beef ham’, jika daging ayam, maka ia disebut ‘chicken ham’,” katanya di sini hari ini.
Katanya, di dalam prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menetapkan mana-mana makanan yang namanya seperti makanan yang tidak halal seperti ‘ham’, tidak boleh diberikan sijil halal.
“Tetapi kalau chicken ham,beef ham dibenarkan untuk tujuan mengelakkan kekeliruan.
“Ham bukan bermaksud proses untuk buat makanan ya, kalau tak faham tanya pegawai atau boleh buka kamus. Tolong simpan sedikit kebodohan kamu itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE