KUALA NERUS – Bintang Harimau Malaya, Akhyar Rashid yang sebelum ini dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi menyertai Terengganu FC (TFC) hari ini.
Tunang pelakon Eyka Farhana tersebut telah menandatangani kontrak bersama skuad Sang Penyu selama dua musim.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, permohonan untuk menyerap Akhyar secara tetap telah mendapat perkenan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Akhyar telah memberikan impak yang cukup baik dalam meningkatkan kualiti pasukan ini (TFC) dalam pertandingan domestik dan Asia Tenggara sepanjang musim ini.
“Melihatkan impak tersebut, kelab ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani beliau secara tetap daripada JDT,” katanya di sini hari ini.
Sabri berkata, TFC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas pelepasan diberikan oleh JDT tersebut.
Beliau berharap kemasukan Akhyar secara tetap mampu meningkatkan lagi kualiti skuad Sang Penyu bagi baki musim ini dan seterusnya.
Akhyar Rashid pula menjunjung kasih Tunku Ismail dan pengurusan JDT yang banyak membantunya meningkatkan kualiti sebagai pemain bola sepak profesional.
Perkembangan terbaharu tersebut membolehkan Akhyar diturunkan TFC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada lusa. – KOSMO! ONLINE