fbpx

Op Trust: Lima ditahan kes seleweng dana pelaburan RM104 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian suspek ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu disyaki terbabit dalam penipuan melibatkan dana pelaburan orang awam berjumlah RM104 juta.

Kelima-lima suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, lima suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat berusia 50 sehingga 60-an ditahan pada pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“SPRM menerima beberapa aduan dan maklumat berunsur jenayah yang dilakukan syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Syarikat itu didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi dan individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Jelas sumber, kira-kira RM104 juta diseleweng daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, tangkapan dibuat menerusi operasi khas dinamakan Op Trust.

Katanya, pihaknya memerlukan kepakaran yang tinggi untuk menjejaki aliran kewangan tersebut.

“Siasatan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan kawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat pemegang amanah selain mewujudkan platform bersih dan selamat untuk bakal pelabur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI