fbpx

Rezeki terpijak si jelita Arrora Salwa selepas GV11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biarpun tersingkir minggu kelapan GV11, rezeki Arrora kian menampakkan hasil apabila ‘dilamar’ menjadi pelakon oleh Yusof Haslam. – Saddam Yusof

KATA orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Barangkali itu pepatah paling tepat untuk menggambarkan betapa bertuahnya penyanyi, Arrora Salwa selepas  mendapat tawaran lakonan daripada penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam. 

Biarpun baru sahaja tersingkir daripada Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) Ahad lepas, jelitawan itu akan terus ke set penggambaran sebuah drama bersiri tidak lama lagi.

Arrora yang merupakan seorang pramugari dan bekas anggota polis itu pernah dilamar secara langsung Yusof Haslam sewaktu beliau menjadi juri GV11 beberapa minggu lalu. 

Menurut Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 40, dia dihubungi pihak Skop Production, Jumaat lalu bagi membincangkan watak drama bersiri bertemakan kepolisan sebuah stesen televisyen swasta. 

“Saya tidak sangka Yusof mengotakan janjinya mengambil saya berlakon. Sebenarnya tawaran secara rasmi datang pada Jumaat lepas. Penggambaran dijangka bermula 21 Januari depan. 

“Jadi, bila tersingkir pada minggu kelapan ini saya tidaklah berasa terlalu ralat. Kerana ada rezeki lain yang menanti di luar sana. Inilah yang dikatakan hikmah dan rezeki asbab saya sertai GV11,” katanya. 

Jelas pelantun lagu Ahmad itu lagi, dapat bertahan sehingga minggu kelapan adalah satu pencapaian buatnya kerana tidak terfikir akan pergi sejauh itu.

Disebabkan itu juga dia sudah bersedia sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir. 

“Sebenarnya ‘target’ saya dalam GV11 ini hanyalah sampai minggu ketiga sahaja atau menjadi peserta pertama yang tersingkir sebab saya sudah 15 tahun tidak menyanyi.

“Setiap minggu saya akan bersiap bersedia untuk tersingkir. Tetapi tak sangka rezeki saya dipanjangkan sehingga minggu kelapan,” jelasnya. 

Jual visual 

Menyedari suaranya tidak setanding dengan peserta-peserta lain, Arrora memasang strategi dengan memantapkan penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik sementelah beraksi di atas pentas. 

“Saya sedar saya bukan penyanyi yang bagus jika nak dibandingkan dengan peserta-peserta lain. Jadi, kena cari aspek lain dalam diri saya yang akan membuatkan saya menonjol. 

“Jadi saya fokus pada penampilan. Kerana pada saya penampilan juga penting sebagai seorang artis. Jika suara tak ada, tetapi ada rupa, insya-Allah ‘can go’ lah. Kalau ada suara tapi tak ada penampilan yang bagus pun susah juga juga untuk bertahan. 

“Saya beritahu pada ‘glam team’ saya mahu kelihatan seperti Miss Universe. 

“Alhamdulillah setiap minggu mereka berusaha membuatkan saya kelihatan cantik,” ujarnya. 

Sebelum ini, nama Arrora sering menjadi mangsa kecaman netizen yang mendakwa dia masih kekal dalam GV11 kerana bersandarkan kepada rupa semata-mata. 

Dia juga dituduh menggunakan ‘mak esah’ atau ilmu hitam untuk kekal bertahan. Namun Arrora menafikan tuduhan dengan memuat naik video berjalan di bawah ampaian baju dan memakan sate sebagai bukti ‘bersih’ sihir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI