KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan kenyataan tular di media sosial yang mengaitkan pemberhentian Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan kontrak helikopter bernilai RM16 billion.
Mindef dalam kenyataan berkata, tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.
Menurut kenyataan itu, satu laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan laporan polis sudah dibuat sebagai langkah memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan berita palsu.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.
“Adalah ditegaskan menyebarkan berita palsu adalah kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988,” katanya.
Terdahulu satu kenyataan tular di media sosial mendakwa PAT, Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Udara (PTU), Panglima Tentera Laut (PTL) serta beberapa pegawai tinggi ATM berdepan proses pemberhentian disebabkan kontrak helikopter. – KOSMO! ONLINE.