WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang menyiasat insiden sebuah pesawat United Airlines dan Delta Air Lines hampir berlanggar ketika ia bersedia untuk mendarat di Phoenix, Arizona, lapor laman berita Fox semalam.
Penerbangan 1724 United Airlines dan Penerbangan 1070 Delta Air Lines selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor.
Menurut FAA, kedua-dua pesawat tersebut selamat mendarat sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan), Sabtu lalu.
Pegawai-pegawai bagaimanapun tidak memberikan jarak tepat antara kedua-dua pesawat yang cuba mendarat itu.
Namun, FAA berkata, ia sedang menyiasat kejadian tersebut.
Jurucakap United Airlines dalam satu kenyataan memberitahu bahawa juruterbang menerima amaran penerbangan automatik untuk menukar ketinggian ketika sedang bersiap untuk mendarat.
“Para juruterbang bertindak segera dan mendarat dengan selamat,” kata kenyataan itu. – AGENSI