SEPANG – Kisah pengorbanan seorang ibu tunggal mengumpul duit bantuan selama 15 tahun selain makan nasi bersama bawang untuk ke Tanah Suci mendapat perhatian seorang TikTokers apabila sudi menaja warga emas itu mengerjakan umrah.
Abd. Jalil Abd. Razak berhasrat untuk menaja Maimun Sarajul, 60, selepas melihat hantaran video mengenai kejadian menimpa wanita itu di Instagram Kosmo! Online.
Maimun merupakan antara 379 bakal jemaah umrah yang terkandas untuk ke Tanah Suci semalam.
“Selepas melihat video di Kosmo! Online, saya segera mendapatkan nombor telefon mak cik itu dan menghubunginya bagi menyatakan hasrat menaja dia dan keluarga ke Tanah Suci.
“Hati saya memang terkesan melihat mak cik itu dan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) selain melihat kesungguhannya mengumpul wang untuk mengerjakan umrah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Maimun menyimpan wang bantuan Baitulmal berjumlah RM400 selama lebih 15 tahun untuk mengerjakan umrah bersama keluarga termasuk dua anak OKU.
Mengulas lanjut, Abd. Jalil berkata, Mak Cik Maimun bersama lima ahli keluarganya dijadulkan berlepas ke Tanah Suci pada 20 Januari ini melibatkan tajaan bernilai RM35,100. – KOSMO! ONLINE