ISLAMABAD – Seorang penjual puding di Pakistan menjadi sensasi internet kerana memiliki wajah mirip bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Media sosial dihebohkan dengan klip video memaparkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Bagga dan berusia 53 tahun.
Dalam satu klip video yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @metrouk, ‘kembar’ Trump itu dilihat sedang menjual kheer (puding) di sebuah pasar yang sibuk.
Selain menolak kereta sorongnya, dia turut menyanyi untuk menarik perhatian pelanggan.
“Wajah saya menyerupai Trump dan orang ramai mahu bergambar dengan saya. Saya berasa sangat teruja.
“Trump, anda telah memenangi pilihan raya Presiden. Sekarang mari ke sini dan makan kheer saya, anda akan menikmatinya,” tambah Bagga.
Wajahnya yang sangat mirip dengan Trump itu menyebabkan perniagaan Bagga mendapat perhatian lebih berbanding peniaga-peniaga lain.
“Puding Bagga sungguh lazat. Kami merakam swafoto dengannya dan memberitahu rakan-rakan bahawa kami telah bergambar dengan Trump,” kata seorang penduduk tempatan. – AGENSI