CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disaran mengkaji semula keperluan meningkatkan nilai denda bagi premis yang menyalahgunakan sijil halal.
Timbalan Mufti Wilayah, Jamali Mohd Adnan berkata, saranan itu penting supaya tiada lagi pihak yang cuba memperdayakan masyarakat dengan cara memalsukan sijil halal.
“Kami mendapati isu salah guna tanda halal turut dikesan membabitkan produk sandwic dikeluarkan sebuah syarikat baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Sijil Halal Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, hari ini.
Katanya, tindakan pantas Jakim dan KPDN berhubung isu itu memberi khabar gembira kepada masyarakat bahawa kerajaan sentiasa bertindak proaktif dalam menangani isu berkaitan pematuhan halal.
Sebelum ini, Jakim mengesahkan sandwic ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki sijil halal ,malah siasatan mendapati syarikat pengeluar sandwic itu menggunakan sijil halal pihak lain.
Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, penalti bagi pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Bagi bukan pertubuhan perbadanan pula, penalti tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya dan kesalahan berikut tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE