PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu memandang rendah kemampuan Terengganu FC (TFC) dalam usaha meraih bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.
Perancang skuad Harimau Selatan, Juan Muniz mengakui pertembungan tersebut boleh dianggap sebagai ‘buku bertemu ruas’ memandangkan tuan rumah kini berada pada prestasi terbaik.
Kata Muniz, kejayaan skuad Sang Penyu melakar kemenangan besar pada Kejohanan Kelab Asean dengan menewaskan Shan United 5-0 minggu lalu boleh menjadi tonik buat tuan rumah.
“Kita semua tahu TFC ada ramai pemain-pemain yang bagus apatah lagi sekarang momentum mereka di tahap yang selesa selepas menang pada perlawanan di peringkat antarabangsa.
“Jadi, saya percaya perlawanan ini akan lebih sukar berbanding aksi Liga Super dengan kelebihan TFC sudah tentu beraksi di tempat mereka sendiri.
“Memang sentiasa sukar beraksi di sana (Gong Badak), tetapi kami ingin cuba ambil peluang seawal separuh masa pertama dan kita akan berjuang sehingga ke final.
“Amat penting untuk JDT mendapatkan keputusan yang lebih selesa tetapi dalam masa sama, pasukan perlu berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan mudah seperti aksi bertemu Sabah FC, minggu lalu,” jelasnya.
Sebagai rekod, perlawanan JDT menentang TFC boleh dianggap sebagai ulangan final edisi 2023 yang menyaksikan juara Liga Super itu gah melakar kemenangan 3-1.
Harimau Selatan kini memburu trofi ketiga musim ini selepas berjaya menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA tahun lalu.