JOHOR BAHRU – Seorang pesara pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Komander mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesemua 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja (KD) Sultan Ismail yang dianggarkan lebih RM1.07 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Haizad Ismail, 43, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selama kira-kira dua jam 30 minit.
Mengikut 89 kertas pertuduhan, bekas penjawat awam itu didakwa menipu Kapten TLDM Shaiful Fadzli Ismail, 50, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail telah selesai dilaksanakan.
Perbuatan itu didakwa dengan curangnya mendorong Shaiful Fadzli untuk memperakukan pembayaran antara RM1,000 hingga RM40,000 yang keseluruhannya berjumlah RM1.07 juta kepada 10 syarikat yang mana beliau tidak akan memperakukan pembayaran itu jika tidak diperdayakan.
Semua perbuatan yang didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih di Kota Tinggi, pada 23 Oktober dan 29 November 2023.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jumlah jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan keseluruhan jumlah RM39,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE