LONDON – Pemain tengah berbakat Manchester United, Kobbie Mainoo mungkin meninggalkan Old Trafford dengan spekulasi semakin memuncak mengenai masa depannya berikutan isu tuntutan gaji baharu.
Mainoo yang kini meraih pendapatan £20,000 (RM109,598) seminggu di bawah kontrak sehingga 2027 dilapor mahu kenaikan besar sehingga £200,000 (RM1.09 juta) seminggu dan jika dipenuhi, ia menjadikannya salah seorang pemain bergaji tinggi di kelab.
Bagaimanapun, pihak pengurusan United dikatakan enggan memenuhi tuntutan setinggi itu sekali gus mencetuskan spekulasi Mainoo mungkin meninggalkan kelab, sama ada pada jendela perpindahan Januari ini atau musim panas akan datang.
Di tengah ketidaktentuan itu, Chelsea dilihat serius untuk membawa pemain itu ke Stamford Bridge, namun kelab gergasi Jerman, Bayern Munich turut menyertai persaingan dan dikhabarkan bersedia mengemukakan tawaran lumayan jika United melepaskan Mainoo.
Situasi itu semakin menarik selepas Pengurus United, Ruben Amorim mencabar pemain berusia 19 tahun itu untuk membuktikan dirinya layak menerima gaji lebih tinggi.
Amorim memuji potensi pemain muda itu, tetapi menegaskan Mainoo masih perlu terus belajar dan berkembang sebelum layak berada dalam kelompok penerima gaji tinggi di Old Trafford.
“Kobbie (Mainoo) telah menunjukkan peningkatan besar dalam beberapa perlawanan terakhir. Tetapi, saya rasa anda semua menganggap dia sudah sempurna. Dia sangat bagus, tetapi masih boleh menjadi lebih baik,” katanya. – AGENSI