BESUT – Lima beradik yatim piatu menarik nafas lega apabila kesusahan hidup mereka mendapat pembelaan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Muhammad Daniel Haikal Rosli 17, berkata, dia dan adik-adiknya iaitu Nur Damia Aliesya, 14, Nur Dhia Izarra, 11, Nur Dina Raisya, 7 , dan Muhammad Darwish Adeeb,3, kini menumpang kasih emak saudaranya, Rahimah Ab. Rahim, 32.
Nur Damia berkata, ibunya Rohani Ab. Rahim, 38, meninggal dunia enam bulan lalu akibat kanser paru-paru diikuti bapanya Rosli Ab. Llah, 43, pada 31 Disember tahun lalu akibat serangan jantung.
“Ayah merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran.
“Kami hilang tempat bergantung dan terpaksa menumpang kasih emak saudara untuk memelihara kami. Arwah ayah pula bekas tentera yang tidak berpencen,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan JHEV tersebut di Kampung Gong Tengah di sini hari ini.
JHEV Kelantan/Terengganu melancarkan pungutan derma sebanyak RM10 seorang dalam kalangan ahli dan orang awam bagi meringankan beban lima beradik berkenaan.
Sumbangan wang tunai RM9,100 bersama kotak makanan itu diserahkan Pengarah JHEV Kelantan/Terengganu, Mejar (TUDM), Mejar Wan Abdullah Wan Abdul Samad kepada Nur Damia.
Menurutnya, bantuan diterima itu akan digunakan untuk pembelian peralatan sekolah dan wang saku bagi meringankan bebanan ibu saudaranya yang bekerja sendiri dan mempunyai empat anak sendiri yang perlu ditanggung. – KOSMO! ONLINE