ALOR SETAR – Kakak kepada Siti Rohani Saad, 37, mengakui sering bermimpi tentang wanita itu sejak kehilangannya pada November tahun lepas termasuk kali terakhir beberapa minggu lalu.
Naziroh, 51, bagaimanapun menganggap mimpi tersebut sebagai mainan tidur selain berkemungkinan kerana terlalu merindui adik bongsunya itu.
“Kali terakhir (mimpi) beberapa minggu lepas, saya bermimpi Siti Rohani datang dan menyuruh saya mengajarnya mengucap. Dia kata ‘kak tolong ajar Acu (panggilan Siti Rohani) mengucap’ dan saya terus terjaga dengan perasaan berdebar-debar.
“Saya menganggap itu mainan mimpi sahaja mungkin kerana terlalu rindukan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Lanjut, di sini hari ini.
Katanya, dia sekeluarga sebelum ini menaruh harapan tinggi agar Siti Rohani kembali ke pangkuan mereka, sehinggalah satu mayat wanita ditemui kira-kira 10 kilometer dari tempat motosikal Siti Rohani
“Saya selalu berharap dapat panggilan Siti Rohani akan pulang atau tiba-tiba dia muncul di hadapan pintu rumah kami seperti yang selalu saya mimpi. Namun panggilan kelmarin menyuruh kami membuat pengecaman mayat ditemukan itu menjadikan kami reda.
“Kami sekeluarga akan terima apa juga keputusannya dan akan reda kerana ini adalah ketentuan Allah SWT. Kami semua akan tabah dan cekal berdepan dengan keputusan itu,” ujarnya.
Menurut Naziroh, seluruh keluarganya yang kini berkumpul di kampung itu kini menantikan dengan sabar dan berdebar hasil keputusan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diketahui tidak lama lagi.
“Semalam adik beradik lelaki saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk urusan pengecaman dan DNA. Kami berdebar, namun reda dengan apa juga keputusannya nanti,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, di sini pada 8 November lepas. – KOSMO! ONLINE