SEPANG – Syarikat perkhidmatan umrah yang gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci semalam dilaporkan hanya membuatkan pemulangan wang kepada 20 individu berbanding tuntutan yang dibuat oleh 379 mangsa.
Penasihat undang-undang juga aktivitis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, bayaran balik kepada jemaah terlibat hanya dibuat kepada dua orang pada hari ini selain 18 orang semalam.
“Dalam situasi ini, syarikat dilihat gagal menunaikan janji mereka untuk melunaskan segala tuntutan kepada jemaah terkandas pada pukul 6 pagi tadi.
“Berbanding lebih RM2.1 juta tuntutan dibuat jemaah terkandas, syarikat hanya membayar sekitar RM13,400 sahaja kepada dua jemaah hari ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan hampir 379 jemaah gagal terbang ke Tanah Suci selepas syarikat penyedia perkhidmatan umrah tidak menyediakan tiket penerbangan, visa dan kemudahan penginapan.
Jemaah terkandas bukan sahaja melibatkan individu dari Semenajung Malaysia, malah ada yang tiba dari Korea Selatan, Brunei dan Singapura.
Susulan itu, Ena menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera untuk hadir ke pejabat syarikat dan membuat pemeriksaan.
“Ketika ini, kami mengesyaki pemilik berada di bangunan syarikat, namun wakil jemaah tidak dapat untuk mengakses ke kawasan tersebut.
“Laporan polis sudah dibuat jemaah terkandas, jadi kami harap siasatan dan tindakan segera dapat diambil PDRM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE