PASIR MAS – Dua lelaki yang sedang leka memproses air ketum dianggarkan bernilai RM15,720 dicekup semasa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan serbuan dalam kawasan semak di Kampung Belukar di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Mitra menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sebanyak 280 bungkus air ketum, 528 bungkus daun ketum dan pelbagai peralatan memproses ketum dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan kesemua barangan tersebut.
“Siasatan mendapati, kawasan semak itu dijadikan tempat untuk mereka memproses air ketum.
“Dengan penangkapan suspek, PGA berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran air ketum di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke kompeni taktikal Taman Bakti di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE