SIBU – Beberapa operasi telah dilaksanakan hari ini bagi membantu puluhan calon dan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini yang terjejas banjir hari ini.
Antaranya 38 calon SPM dan enam pengawas peperiksaan yang dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kwong Hua di sini, menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia.
Pegawai Bencana Operasi Latihan dan Sekretariat APM Sibu, Kapten (PA) Azamsah Apearal berkata, bantuan diberikan bagi memastikan mereka hadir ke pusat peperiksaan tanpa sebarang halangan,
Sementara itu, pada pukul 6.40 pagi tadi, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit membantu mengambil dan menghantar seorang calon SPM ke SMK Kanowit setelah terkandas di Rh. Joseph Rantau Kemiding, Kanowit selepas jalan dari rumah mereka dinaiki air.
“Jalan terputus dianggarkan 200 meter, berkedalaman 2.5 kaki. Pasukan bomba membawa mangsa ke sekolah dengan selamat,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE