WASHINGTON – Syarikat Meta merancang untuk mengurangkan kira-kira lima peratus kakitangannya pada tahun ini dalam satu langkah bertujuan untuk menyingkirkan pekerja yang kurang berprestasi, lapor akhbar New York Post semalam.
Menurut memo Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg, syarikat itu akan mengambil pekerja baharu tahun ini untuk menggantikan kakitangan yang disingkirkan.
Bos Facebook dan Instagram itu turut berkata, beliau menjangkakan 2025 menjadi tahun yang sengit kerana Meta menggunakan lebih banyak sumber dalam kepintaran buatan (AI) dan projek utama lain.
“Saya memutuskan untuk meningkatkan tahap pengurusan prestasi dan menyingkirkan mereka yang berprestasi rendah dengan lebih cepat.
“Pada kebiasaannya, kami menguruskan pekerja yang tidak memenuhi jangkaan dalam tempoh setahun tetapi kini kami akan melakukan pengurangan berasaskan prestasi yang lebih meluas semasa kitaran ini,” kata Zuckerberg dalam memo itu.
Beliau berkata, Meta akan menyediakan bayaran pemberhentian yang sangat baik kepada pekerja yang terjejas.
Gergasi teknologi itu dijangka memberitahu pekerja yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang terjejas pada 10 Februari depan, selepas melakukan semakan prestasi.
Jumlah sebenar pekerja yang dijangka diberhentikan itu tidak diketahui.
Meta mempunyai kira-kira 72,000 pekerja setakat September tahun lalu. Lima peratus pengurangan itu boleh mengakibatkan kira-kira 3,600 orang kehilangan pekerjaan. – AGENSI