fbpx

Pasangan Malaysia kurang pergi Siam bernikah sebab pintu sempadan ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera Thailand menjalankan pemantauan di kawasan pangkalan haram Gergaji, Sungai Golok, Thailand baru-baru ini.

NARATHIWAT, THAILAND – Operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa Malaysia di kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dekat sini bermula 1 Disember lalu menyebabkan pengurangan sebanyak 40 peratus rakyat negara itu datang untuk berkahwin di Wilayah Selatan Thailand.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, sebelum ini, pihaknya menguruskan purata seramai empat hingga lima pasangan dari Malaysia sehari mengikut hari-hari tertentu.

Menurutnya, bagaimanapun, Majlis Agama Islam Narathiwat hanya menjalankan akad nikah sebanyak satu atau dua pasangan malah tiada langsung pasangan Malaysia dalam sehari sejak penguatkuasaan ketat di sempadan bermula 1 Disember lalu.

“Berdasarkan jumlah itu, saya lihat pengurangan sangat ketara jumlah rakyat Malaysia bernikah di sini. Tidak dinafikan, kebanyakan daripada pasangan sebelum ini masuk ke Thailand melalui pangkalan haram dengan merentas Sungai Golok.

“Apabila penguatkuasaan ketat, ramai yang tidak boleh masuk ke negara in untuk bernikah. Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal nikah, aspek masuk ke negara ini atau cop pasport bukan menjadi keutamaan kami.

“Apabila mereka cukup syarat sah terutamanya wali, dokumen perceraian sah dan jarak melebihi dua marhalah, akad nikah sudah boleh dijalankan. Jadi, kaedah atau cara mereka masuk ke sini bukan satu perkara yang dititikberatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Agama Islam Narathiwat di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz memberitahu, beliau berharap kerajaan dan jabatan agama di Malaysia memudahkan urusan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan.

Menurutnya, kemudahan itu perlu diambil kira sebagai langkah untuk mengelakkan sebarang kemaksiatan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam.

“Perkara ini mungkin boleh dijadikan usul dan perbincangan kepada pihak jabatan agama di Malaysia kerana kita tahu ramai yang datang berkahwin di sini. Mereka mesti mempunyai sebab atau faktor tersendiri.

“Jadi, saya cadangkan agar segala urusan dipermudah kerana hal-ehwal nikah dan kawin ini bukan hak kita, tetapi hak Allah SWT yang perlu kita tunaikan.

“Pasangan dari Malaysia bersusah payah datang ke sini untuk berkahwin sedangkan di negara mereka ada majlis dan jabatan agama yang boleh menguruskan. Perkara itu wajar untuk difikirkan,” ujarnya.

Abdul Aziz memberitahu, urusan pernikahan rakyat Malaysia di Wilayah Selatan Thailand juga rumit apabila ia mengambil masa selama lebih dua hari untuk mendapatkan sijil perkahwinan sah.

Menurutnya, pasangan Malaysia perlu mendapatkan cop daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yang mengambil masa lebih sehari.

“Jadinya, mereka akan bermalam di Songkhla yang terletak lebih 200 kilometer dari Narathiwat untuk mendapatkan cop sebelum datang semula ke sini.

“Segala prosedur itu mengambil masa dan kos. Jadi, saya harap segala urusan itu juga dipermudah agar pengesahan perkahwinan dipercepatkan untuk sebarang pengeluaran sijil dan dokumen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI