SHAH ALAM – Cubaan seorang buruh binaan warga Indonesia menyogok anggota polis sebanyak RM100 kerana tidak mempunyai lesen memandu memakan diri apabila direman bagi membantu siasatan kes itu, hari ini.
Tempoh reman selama lima hari dikenakan terhadap suspek lelaki berusia 27 tahun yang dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Sumber berkata, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kuala Selangor.
Katanya, siasatan mendapati suspek pada awalnya ditahan kira-kira pukul 11.33 pagi kelmarin di Jalan Bestari Jaya, Ijok berhadapan sebuah sekolah menengah di lokasi tersebut.
“Suspek kemudiannya cuba memberikan wang rasuah RM100 kepada anggota polis.
“Ini sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan atas kesalahan tiada lesen memandu dibawah Seksyen 26(1) dan cukai jalan tamat tempoh dibawah Seksyen 15(1) A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) ASPRM 2009. – KOSMO! ONLINE