fbpx

Duit pencen RM9.5 juta bekas jurutera kena kebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Impian seorang bekas jurutera menambah duit pencen dengan menyertai pelaburan mata wang kripto lebur apabila wang simpanannya RM9.5 juta dikebas scammer.

Lelaki berusia 63 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan kripto atau bitcoin menerusi laman sosial yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dan mudah sekitar bulan Julai tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datu M. Kumar berkata, mangsa menekan pautan yang tertera pada iklan untuk mendapatkan maklumat berhubung pelaburan berkenaan.

“Nombor telefon mangsa terus dimasukkan ke kumpulan WhatsApp sindiket sebelum dihubungi dua individu yang menerangkan cara-cara pelaburan dan keuntungan lebih 50 kali ganda.

“Mangsa berminat dan terus memuat turun aplikasi yang diarahkan sindiket bagi menyertai pelaburan serta memantau pergerakan pelaburan.

“Antara Oktober hingga Disember tahun lalu, mangsa telah melakukan 29 transaksi ke 11 akaun bank berbeza berjumlah RM9,474,310,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, mangsa menyemak aplikasi pelaburan dan mendapati dia telah mencatatkan keuntungan RM88 juta sebelum berhasrat untuk mengeluarkan semua jumlah keuntungan terbabit.

Namun, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran sebanyak RM800,000 jika mahu mengeluarkan keuntungan dan menyedari sudah ditipu selain dua individu terbabit turut gagal dihubungi.

Ujar beliau, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI