PETALING JAYA – Impian tertunai, pelakon Sharnaaz Ahmad teruja apabila keinginan mendapatkan motosikal jenis CVO Road Glide ST dapat direalisasikan pada usia 40 tahun.
Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, berkata sudah bersedia memiliki jentera dari keluarga American Touring Harley Davidson selepas diselubungi perasaan takut peringkat awal dulu.
“Bismillah, Alhamdulillah. Bertahun-tahun aku cuba beranikan diri untuk memetik bunga CVO ni.
“Tapi setiap tahun aku kecut. Tahun ini aku gagahkan diri dengan bantuan @harleydavidsonofpj.
“Syukur Allah izinkan. Terima kasih. 40 tahun idaman aku. Terima kasih anda semua,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pelakon filem The Original Gangters itu turut berkongsi video ‘unboxing’ motosikal idaman bersama kru syarikat yang menghantarkan jentera itu kepadanya.
Menerusi semakan, motor Harley Davidson di Malaysia, CVO Road Glide ST dijual pada harga permulaan RM306,900.
Manakala untuk edisi ulang tahun ke-25 yang berwarna cerah, kadar jualannya adalah RM346,900 dengan hanya empat unit di Malaysia dan kesemuanya habis ditempah.
Kedua-dua model terbabit menampilkan ciri aerodinamik yang optimum dibangunkan teknologi CFD (computational fluid dynamics) da turut diguna pakai pasukan MotoGP bagi membangunkan jentera lumba.
Jentera terbabit dikuasakan enjin Milwaukee Eight 117 bersesaran 1,923cc V-Twin baharu yang lebih berkuasa dan ringan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut termasuk rakan artis turut berkongsi rasa teruja dengan Sharnaaz.
“Nak kena bawa masuk ni kanda Awie,’ tulis pelakon Beto Kusyairi.
“Tahniah,” kata aktor Zizan Razak.
“Fuh, handsome,” ujar pelakon Hun Haqeem. – KOSMO! ONLINE