SEJAK pertama kali menonton persembahan wayang kulit di media sosial, Lee Ming Xiang tertarik dengan kemerduan alunan serunai Kelantan.
Alunan muzik yang menjadi iringan cerita tok dalang tersebut sering membuatkan pemuda berusia 19 tahun itu berasa tenang dan nyaman.
Dari detik itu, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah (2), Machang, Kelantan tersebut mula mencari jalan untuk mempelajari seni tradisional Melayu itu.
Kongsi Ming Xiang, ibunya sanggup menunggang motosikal dari Pasir Mas ke Kubang Kerian untuk berjumpa dengan pembuat serunai Kelantan iaitu Mohd. Izani.
“Saya mula minat serunai Kelantan semasa saya berada di tingkatan empat setelah saya menonton persembahan wayang kulit menerusi media sosial.
“Ibu menyokong keinginan saya itu sepenuhnya sehingga dia sanggup membantu saya mencari pembuat serunai Kelantan untuk saya dapatkan serunai tersebut,” ujarnya kepada K-Remaja.
Kini, anak bongsu kepada lima adik-beradik itu memiliki dua batang serunai Kelantan yang berada dalam kategori serunai ibu.
Serunai Kelantan terbahagi kepada dua iaitu serunai ibu yang bersaiz lebih kurang 50 sentimeter (sm) dan serunai anak bersaiz lebih kurang 35sm.
Kedua-dua jenis serunai tersebut memiliki tujuh lubang pemetik dan satu lubang jerit di bawah, namun hasil lontaran bunyinya adalah berbeza.
Serunai ibu menghasilkan pic muzik yang lebih rendah, kedengaran kasar dan sesuai untuk iringan lagu tanpa vokal.
Sementara serunai anak pula menerbitkan pic muzik tinggi serta sesuai untuk iringan lagu berserta vokal seperti cerita tok dalang.
Ming Xiang akui gemar meniup serunai pada setiap masa senggang termasuklah di dalam kereta ketika perjalanan ke satu-satu destinasi.
“Saya pastikan setiap hari, saya akan luangkan masa sekurang-kurangnya selama 30 minit untuk berlatih lagu-lagu baharu.
“Kini, saya sudah menguasai lebih daripada 10 lagu yang meliputi lagu dikir barat, hindustan, Cina, Melayu dan Inggeris moden,” katanya.
Tidak terhenti pada berlatih bersendirian sahaja, Ming Xiang turut aktif menyertai orang-orang tua kampung yang masih mengamalkan muzik-muzik tradisional.
Biarpun dirinya seorang sahaja berketurunan Cina, namun penerimaan orang-orang kampung membuatkan Ming Xiang tidak kekok ‘lepak’ bersama mereka.
Bahkan, Ming Xiang pernah terlibat pada malam eksklusif Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato di Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung pada 9 Ogos tahun lalu.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Ming Xiang berharap dia dapat menghasilkan lagu sendiri menerusi serunai Kelantan pada satu hari nanti.
“Saya harap satu hari nanti saya akan dapat menguasai teknik penghasilan lagu dan menghasilkan lagu-lagu saya sendiri.
“Saya juga berharap saya dapat tolong sebarkan lagi warisan traditional ini kepada anak-anak muda tidak kira bangsa apa,” katanya.