LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta seolah-olah melancarkan perang psikologi apabila menganggap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Stadium Emirates awal pagi esok hadir tepat pada masanya.
The Gunners masih lagi dibelenggu kekecewaan apabila tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Manchester United di pusingan ketiga Ahad lalu.
Justeru, Arteta menyifatkan perlawanan menentang Spurs sebagai peluang terbaik untuk Arsenal bangkit mencatat kemenangan dan merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool.
“Kami menerima kekalahan sebelum ini dengan hati terbuka dan sedia untuk meneruskan perjuangan pada perlawanan Rabu nanti (awal pagi esok). Kami tidak boleh mensia-siakan harapan peminat.
“Mungkin itu adalah peluang untuk dapatkan apa yang kami layak (kemenangan). Saya mahu semua pemain terus menampilkan aksi terbaik bagi menghadiahkan apa yang dimahukan oleh peminat,” katanya.
Aksi derbi utara London itu pastinya menyajikan perlawanan cukup menarik memandangkan kedua-dua pasukan bakal menampilkan corak permainan terbuka dan mampu menjaringkan gol yang banyak.
Selain itu, Arsenal mendapat sedikit keyakinan selepas menyaksikan Spurs bergelut dan terpaksa menunggu hingga ke masa tambahan untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas pasukan Divisyen 5, Tamworth pada aksi Piala FA. – AGENSI