KETUA jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen memerlukan sedikit masa dalam usaha beliau untuk mengembalikan maruah skuad perseorangan wanita negara yang kian tercalar.
Pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 minggu lalu, hanya satu wakil negara dalam acara tersebut dan ia menerusi pemain profesional, Goh Jin Wei, bukannya pemain yang bernaung di bawah ABM.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan rasa kecewa Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yang menyifatkan pemain-pemain perseorangan wanita kebangsaan lebih banyak merungut ketika menjalani latihan.
Justeru, Jonassen yang baru sahaja memulakan tugasnya awal bulan ini perlu memahami secara mendalam personaliti pemain-pemain negara sebelum melakukan sebarang perubahan dalam skuad tersebut.
“Saya masih membuat penilaian terhadap pasukan (perseorangan wanita) dari segenap aspek, termasuk cara latihan dan keinginan mereka. Apabila sudah faham, baru saya akan nampak arah yang diperlukan untuk perseorangan wanita.
“Buat masa ini, saya sedang mengumpul maklumat dan memahami mereka. Sekarang saya hanya mahu dapatkan pemahaman sebenar sebelum buat perubahan, bukannya ubah tanpa sebarang sebab,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.
Jurulatih berusia 51 tahun itu menjelaskan, ketika ini beliau sedang memberikan perhatian terhadap skuad perseorangan lelaki bagi memahami falsafah latihan yang dimiliki setiap jurulatih di bawahnya.
Pada masa sama, beliau juga sedia membantu pemain-pemain perseorangan wanita negara untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia, namun memberitahu ia memerlukan masa yang agak panjang.