RAKYAT akan terus jadi ‘pengadil’ kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menilai cara perbelanjaan peruntukan RM30 juta yang diberi oleh pihak kerajaan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, berkata pemberian peruntukan itu pastinya akan membuka publisiti lebih besar terhadap FAM dan semua orang akan terus memantau segala gerak-geri badan induk berkenaan
“Pertamanya kita sebagai bekas pemain dan pemerhati begitu terharu dengan pemberian ini, tetapi peruntukan ini bukan untuk bermewah-mewah. Harus diingat duit itu duit rakyat, jadi kena belanja dengan penuh hemah.
“Dalam sukan kena bersikap terbuka, adakalanya orang puji dan ada juga orang kritik. Jangan mudah melatah, gunakan duit itu untuk perkara yang bagus dan bukannya berbelanja sesuka hati.
“Sekarang ini, orang tidak reti main bola pun ikut mengenai bola dan hadir ke stadium. Ketika kita kalah pun mereka tahu adakah kita ada kemajuan atau tidak,” katanya.
Terdahulu, kerajaan akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta yang mana baki jumlah RM15 juta bakal dibiayai pihak swasta.
Dalam masa sama, Azlan merasakan pemberian dana ini tidak wajar menimbulkan rasa cemburu dikalangan penggiat sukan lain kerana bola sepak adalah asas kepada pengenalan kepada sukan kepada anak-anak.
“Anak kita pun sudah diberikan bola sejak kecil dan tarikan terhadap bola sepak juga agak kuat. Dengan dana yang ada sekarang, modul pembangunan akar umbi juga perlu ditambah baik.
“Ini akan memastikan semua pihak wajar ikut modul daripada FAM kerana kalau tidak diberikan modul, bagaimana kita mahu dapat DNA bola sepak Malaysia. Kalau ada pihak yang ikut modul diberikan FAM, tidak salah kita bantu mereka,” katanya.