PETALING JAYA – Pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi kini mengubah kerjayanya daripada pelakon kepada seorang peninju.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 31, telah mengambil bahagian dalam pertandingan tinju Twins Championship yang akan berlangsung di Seremban pada 15 Februari nanti.
Menerusi hantaran dalam akaun Instagram rasmi Twins Championship, Hafidz bakal berdepan dengan lawannya iaitu Raj Shankar yang merupakan seorang pelawak komediri.
Menerusi tinjauan Kosmo Online dalam media sosial, kebanyakan netizen menunjukkan sokongan kepada Raj agar dia dapat menewaskan Hafidz pada hari pertandingan itu nanti.
“Ramai orang Melayu sokong Raj. Raj adalah harapan kami. Tolong kasi dia lunyai. Bantai dia cukup-cukup,” komen netizen.
Sementara itu, Raj yang terkejut dengan sokongan yang diberikan kepadanya turut meninggalkan komen yang mencuit hati.
“Jangan risau semua. Saya takkan ‘bantai’ dia teruk sangat. Takut tak boleh naik mahkamah nanti,” tulisnya.
Sebelum ini, Hafidz pernah dilanda kontroversi hebat selepas dia didakwa menumbuk bekas isterinya, Nurul Shuhada pada Mac 2023 yang ketika itu masih bergelar isterinya. Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan mereka bercerai talak satu pada 27 Julai 2023. – KOSMO! ONLINE