fbpx

AADK turun konsert, buat ujian air kencing secara rawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin (kanan) beramah mesra bersama sebahagian pegawai dan kakitangan AADK selepas menyampaikan amanat di Ibu Pejabat AADK hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KAJANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan melaksanakan ujian air kencing secara rawak bagi menangani kes penyalahgunaan dadah pada penganjuran konsert.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun saringan air kecing adalah tidak praktikal untuk dilakukan kepada semua pengunjung memandangkan proses tersebut mengambil masa.

“Ujian secara rawak memang kita boleh lakukan tetapi bukan kepada semua kerana kita faham orang ramai dan saringan ini bukan sekadar proses biasa.

“Selain itu, AADK juga boleh turun padang bersama pasukan pencegahan dan berjumpa dengan pengunjung bagi melaksanakan kempen secara bersemuka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK dan Perhimpunan Bulanan AADK 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya juga akan mengadakan libat urus bersama pihak berkaitan sekali gus mempergiat kempen pencegahan dadah bagi tujuan tersebut.

“Kita akan berbincang dengan pihak penganjur dan baru-baru ini saya ada berjumpa dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.

“Kita tidak mahu industri (hiburan) dikaitkan dengan dadah, padahal hanya segelintir yang ambil dadah. Justeru, yang paling penting adalah untuk pergiatkan aktiviti kempen pencegahan,” katanya.

Selain itu, Ruslin berkata, antara langkah pencegahan lain yang boleh dilaksanakan adalah dengan meletakkan logo AADK di tiket konsert serta memainkan video montaj untuk pengunjung.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, mencadangkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung konsert bagi mengelak pengambilan dadah.

Terdahulu, media melaporkan empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita maut selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada ambang tahun baharu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Selain empat mangsa terbabit, terdapat tiga lagi mangsa lain yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI