fbpx

Penagih dadah meningkat, 70 peratus ambil pil kuda, ekstasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KAJANG – Seramai 169,691 penagih dadah direkodkan dari Januari hingga September 2024 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 31.6 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan laporan statistik daripada pihaknya bersama agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP).

Katanya, kadar peningkatan itu sebahagian besar disumbangkan oleh dadah jenis sintetik memandangkan bahan terlarang tersebut lebih mudah didapati.

Menurut Ruslin, belia berusia 19 hingga 39 tahun paling tinggi dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah iaitu seramai 98,977 atau 58.3 peratus.

“Dadah yang paling banyak disalahgunakan adalah amphetamine type stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi melibatkan 119,410 bersamaan 70 peratus.

“Ia diikuti oleh dadah jenis opiat membabitkan seramai 38,854 orang manakala ganja (6,750 orang) dan selebihnya dadah jenis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK dan Perhimpunan Bulanan AADK 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, sehingga 10 Januari tahun ini, seramai 58,875 orang sedang dirawat di 108 buah AADK Daerah dan 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 1,502 orang klien sukarela dan 57,373 orang klien mandatori.

“Bagi tahun lalu, kita telah capai sebanyak 79 peratus kadar kepulihan klien berbanding sasaran ditetapkan iaitu 77 peratus.

“Seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 orang klien yang telah tamat rawatan,” ujarnya.

Justeru, Ruslin mengakui bahawa pendekatan lebih agresif dan inovatif perlu diambil bagi menangani kes penyalahgunaan dadah sintetik.

“AADK sedang merangka Pelan Komunikasi Antidadah bagi menyebar luas mesej antidadah yang tepat dan terkini.

“AADK juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi lain untuk memahami masalah dan mencari penyelesaian yang berkesan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI