KUANTAN – Seorang pesara yang merupakan bekas jurutera mengalami kerugian sebanyak RM145,388 selepas terperdaya dengan penipuan skim tawaran kerja sambilan dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 5 Disember lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 63 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan kerja sambilan.
“Suspek menerangkan pekerjaan tersebut melibatkan promosi barangan elektrik dalam talian dan mangsa dijanjikan komisen sebanyak 25 peratus apabila mendaftar sebagai ahli syarikat dengan dua hingga lapan peratus komisen bagi setiap barangan elektrik yang dipromosikan.
“Mangsa mula membuat tugasan pertama pada 6 Disember 2024 dan membuat transaksi sebanyak RM4,018 ke akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudiannya menghubungi suspek setelah tidak berminat dengan tugasan tersebut dan ingin menarik diri.
Katanya, mangsa kemudiannya diminta membuat transaksi wang bagi mendapatkan semua keuntungan dan mula menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.
“Secara keseluruhannya mangsa telah membuat sebanyak 14 transaksi ke 12 akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM145,388.25.
“Mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri untuk ke semua transaksi yang dibuat,” katanya.
Sementara itu Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
Ujarnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – KOSMO! ONLINE