NARATHIWAT, THAILAND – Lori Penjara Wilayah Narathiwat membawa penyanyi wanita sohor Kelantan dan lima lagi individu yang sebelum ini ditahan bersama 6,000 biji pil kuda tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini untuk prosiding pendakwaan.
Kenderaan tersebut tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.11 pagi waktu tempatan.
Penyanyi sohor dan lima lagi individu dijangka didakwa atas dua pertuduhan iaitu kes dadah dan Akta Imigresen Thailand.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya Wilayah Narathiwat di hadapan Hakim Yuan di bilik 9 di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada tengah hari waktu tempatan.
Lebih 10 petugas media dari Malaysia dan Thailand berkumpul di pekarangan mahkamah tersebut bermula pukul 8.30 pagi waktu tempatan untuk membuat liputan kes tersebut.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, selepas 74 hari ditahan reman di Penjara Wilayah Narathiwat, penyanyi wanita Kelantan bersama suaminya serta empat yang lain akan didakwa di mahkamah hari ini.
Mereka berenam ditahan pada 1 November tahun lalu selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 25 hingga 34 tahun ditangkap dalam sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan yang terletak di tingkat bawah hotel berkenaan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka juga positif dadah. – KOSMO! ONLINE