TELUK INTAN – Hukuman berbentuk khidmat masyarakat akan dikenakan kepada si pengotor yang membuang sampah kecil merata-rata sebagai langkah berkesan menangani isu kritikal yang tidak selesai sejak sekian lama itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada Mac ini.
“Kita naikkan kompaun tidak berguna RM300 atau RM500 kerana orang boleh bayar tetapi apabila pesalah diminta sapu sampah di jalan selama lima jam pasti mereka tidak akan buang sampah lagi.
“Mereka (pesalah) akan dipelawa pakai baju khas untuk turut membantu pekerja pembersihan mencuci longkang, membersihkan tandas dan sapu jalan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Jentera Baru Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE