MELAKA – Kegiatan tiga individu menjual rokok dan minuman keras seludup bernilai RM53,907 melalui aplikasi Wechat terbongkar selepas dua buah premis di Melaka Raya dan Ujong Pasir diserbu sepasukan polis, Jumaat lalu.
Dalam serbuan antara pukul 4.30 hingga 6.30 petang itu, ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 21 hingga 28 ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil maklumat awam serta risikan, serbuan telah dibuat dan pemeriksaan di premis menemukan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM38,508.
“Kita telah merampas sebanyak 331 botol dan 31 karton minuman keras, selain 87 karton rokok seludup bernilai keseluruhan RM53,907 yang dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.
“Kita dapati modus operandi mereka adalah menjual minuman keras dan rokok seludup menerusi aplikasi WeChat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-K! ONLINE