KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan terpaksa meringkuk selama 20 tahun dalam penjara dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol adik kandungnya.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkfifli menjatuhkan hukuman selepas tertuduh yang berusia 30 tahun membuat pengakuan bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Beliau memerintahkan pemuda tersebut dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan pertama hingga ketiga.
Hukuman penjara tersebut diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 4 Januari lalu.
Hukuman penjara bagi pertuduhan keempat dilaksanakan berasingan selain tertuduh turut dikenakan sebatan maksimum 24 kali.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol adiknya yang berusia 24 tahun di rumah mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus pada 24 dan 27 Oktober, 7 dan 17 Disember 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan maksimum 10 kali. – KOSMO! ONLINE