PETALING JAYA – Pelajar di Malaysia mempelajari Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah, tetapi tidak ramai mampu menguasai bahasa itu selepas tamat alam persekolahan.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, gagal menguasai Bahasa Inggeris bermaksud menghadkan peluang kerjaya.
“Walaupun 11 hingga 12 tahun anak-anak kita diberikan pendidikan Bahasa Inggeris, malangnya separuh daripada mereka kekal tidak menguasai Bahasa Inggeris selepas tamat alam persekolahan.
“Anak-anak kita yang tidak kuasai Bahasa Inggeris biasanya dari kumpulan B40, sekolah luar bandar dan pedalaman. Sebahagiannya miskin bandar. Adakah ini satu ‘kegagalan pendidikan’ yang mahu dilupakan?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anuar berkata, salah satu subjek penting yang mesti dikuasai oleh pelajar sejak dari awal persekolahan ialah Bahasa Inggeris.
Kata beliau, data analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017-2023 menunjukkan pencapaian bahasa Inggeris semakin baik.
Beliau berkata, kadar lepasan SPM yang mencapai Gred lemah iaitu Gred D, E dan G juga telah berkurangan berbanding tahun 2017.
Bagaimanapun, katanya, kadar 41 peratus pelajar yang lemah Bahasa Inggeris pada SPM tahun 2023 masih lagi satu kelemahan yang ketara.
“Malah dalam kalangan murid yang mendapat gred C juga sebahagian besar didapati masih tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik apabila mereka berada di universiti.
“Jika kita jumlahkan gred C, D,E dan gagal SPM Bahasa Inggeris, kadarnya akan melebihi 60 peratus daripada pelajar yang mengambil SPM.
“Mengapa pencapaian Bahasa Inggeris yang dipelajari dari pra sekolah sehinggalah ke tingkatan lima masih tidak memberansangkan?,” katanya. – KOSMO! ONLINE