KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara bagi melarang sesiapa sahaja membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata permohonan itu dibuat berikutan kes itu menyentuh isu sensitif.
Bagaimanapun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu membantah permohonan berkenaan.
“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Januari ini dan Najib perlu memfailkan affidavit balasan dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes yang berlangsung dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmar Abdul Aziz.
Pada masa sama, Shamsul turut berkata mahkamah juga menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian (e-Review) pada 11 Mac ini.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya membantah permohonan perintah larangan bersuara kerana kes tersebut adalah kepentingan awam dan telah dibincangkan secara meluas termasuk di Parlimen.
Minggu lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib selaku perayu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd. Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.
Pada masa sama, penghakiman majoriti juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Mohd. Firuz yang membacakan penghakiman panel, berkata mahkamah membenarkan rayuan Najib kerana berpendapat, ia tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Hakim itu berkata, bukti tambahan yang dipohon Najib tidak dikemukakan di mahkamah apabila pihak perayu ipada mulanya memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tahun lalu.
Sementara, Azizah dalam keputusan yang menentang, dalam dapatannya tiada sebarang kesilapan boleh dirayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan adalah bersifat “dengar cakap”.
Berdasarkan rayuan itu, Najib, 71, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – KOSMO! ONLINE