ISKANDAR PUTERI – Empat warga Myanmar diberkas kerana mengendalikan pusat hiburan tanpa lesen sah di Taman Bestari Jaya, Skudai di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mereka terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 30 tahun.
Menurut beliau, pusat hiburan yang dikesan beroperasi sejak dua bulan lalu itu tidak mempunyai papan tanda.
“Mereka menjalankan operasi pusat hiburan tanpa lesen di rumah kedai dan menyasarkan pelanggan warga sing terutama Myanmar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Polis merampas 28 karton dan 15 tin arak pelbagai jenama, televisyen, pembesar suara, amplifier, dua mikrofon tanpa wayar dan wang RM220. Mereka direman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE