PETALING JAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penjualan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang status halalnya diragui di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM)
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, penjualan produk itu untuk bukan Melayu boleh diterima, tetapi isu yang timbul terdapat logo halal tertera di belakang bungkusan berkenaan.
“Mahasiswa UM membuat satu laporan polis susulan kedai serbaneka itu menjual sandwich yang namanya ‘ham and cheese’. Ham itu ada unsur khinzir, dalam (ham) itu ada daging babi dan ‘sandwich’ ‘ham and cheese’ dijual dalam UM yang kebanyakannya orang Melayu ada di situ.
“Jika ‘sandwich’ ‘ham and cheese’ pun dapat logo halal, apakah jaminan keselamatan bagi produk halal lain yang dijual di situ,” katanya dalam satu rakaman video di muat naik di media sosial malam tadi.
Media hari ini melaporkan, UM menutup serta merta dua premis jualan runcit 24-jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek ‘sandwich’ diragui status halal.
Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
“Premis berkenaan akan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“UM sentiasa memastikan bahawa produk yang terjual dalam kampus adalah daripada pembekal yang mematuhi undang-undang, piawaian, peraturan dan prosedur yang dikenakan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE