IPOH – Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap pelajar di seluruh negara telah selesai bagi fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM723 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bantuan secara one-off itu selesai disalurkan di semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Jumaat lalu membabitkan lebih 4.8 juta pelajar.
“Peruntukan BAP yang diluluskan pada tahun ini adalah sebanyak RM791 juta dan pemberian untuk fasa pertama ini adalah sebanyak RM723 juta untuk disalurkan ke sekolah-sekolah.
“Penyaluran bantuan kepada murid tahun satu hingga pelajar tingkatan empat bagi sesi 2024/2025 bermula hari ini manakala murid tahun satu dan pelajar tingkatan enam bagi sesi 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari depan.
“Bagi murid tingkatan enam baharu pula akan diagihkan bermula 1 Julai depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan peringkat negeri 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 1, di sini hari ini.
Katanya, lebih 100,000 pelajar tingkatan enam akan menerima manfaat daripada bantuan tersebut yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta. – KOSMO! ONLINE