PETALING JAYA – Enggan mewariskan kesilapan silam kepada zuriat sendiri, pelakon Nora Danish berharap tidak pernah lelah mengingatkan anak-anak tentang kewajiban menunaikan solat lima waktu.
Kata Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, andai tidak berbuat demikian kemungkinan dua anak lelakinya akan mengalami nasib sama sepertinya apabila harus menggantikan solatnya yang tertinggal selama ini.
“Budak-budak memang kena ingatkan (solat) mereka sepanjang masa terutamanya anak lelaki, setuju tak? Jangan pernah letih ibu-ibu semua.
“Kalau tak, kena ganti solat qada macam mommy sekarang. Jenuh nanti,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pelakon drama Bencinta itu turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama anaknya, Putra Rayqal Ramli yang menyambut ulang tahun ke-16 pada 7 Januari lalu.
Dalam perbualan tersebut, Nora hanya minta Rayqal melaksanakan solat lima waktu supaya kehidupannya sentiasa dilindungi Allah.
“Selamat hari jadi. Apa yang mommy nak adalah Rayqal solat lima waktu sehari dah zikir, Allahuakhbar.
“Dari solat dan zikir itulah Allah akan lindungi awak,” ujarnya.
Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Datuk Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan bercerai pada 2008.
Rumah tangga mereka diserikan dengan seorang cahaya mata iaitu Rayqal.
Pada 2017, Nora bertemu jodoh kali kedua dengan Nedim Nazri dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl. – KOSMO! ONLINE