TAMPIN – Wanita berusia 22 tahun yang hilang dari rumahnya di Felda Sungai Kelamah di sini, dengan membawa bayi perempuannya berusia dua bulan, Jumaat lalu berada dalam keadaan selamat di Sungai Udang, Melaka.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, wanita itu telah membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Udang Melaka pada pukul 7.49 malam semalam.
Menurutnya, dalam laporan polis itu, wanita berkenaan menyatakan dia telah keluar dari rumah keluarganya dengan rela hati tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
“Wanita berkenaan juga memberitahu dia serta bayinya dalam keadaan baik dan sihat. Oleh itu, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang membantu sehingga mangsa ditemui semula,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita berkenaan bersama bayi perempuannya yang berusia dua bulan.
Laporan polis mengenai kehilangan wanita itu dibuat oleh ibunya pada pukul 5.48 pagi selepas wanita itu dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 3.07 pagi pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE