SEMPORNA – Seorang bayi lelaki antara enam maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan lain di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman dalam kenyataan berkata, lima lagi mangsa maut adalah tiga lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.58 petang sebelum sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi.
Sebaik tiba, Bomba mendapati terdapat 15 mangsa kesemuanya iaitu enam mangsa meninggal dunia manakala seorang cedera dalam Proton Wira, empat mangsa dalam kenderaan Isuzu D-Max dan empat lagi mangsa dalam Toyota Innova tidak mengalami kecederaan.
Menurut Madzlan, kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pukul 7.16 malam. – KOSMO! ONLINE.